ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT . UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Friday, January 9, 2009

Ngah Ibrahim

PENJAJAH Inggeris cuba mengaitkan Ngah Ibrahim Long Jaafar (1836-1895) dengan kematian JWW Birch tetapi tiada bukti kukuh menyebabkan mereka menggunakan muslihat dan menahan pejuang kemerdekaan terawal, intelektual, pemikir dan berwawasan jauh dalam membangunkan ekonomi bangsa Melayu itu di Singapura.



Ngah Ibrahim akhirnya dijatuhkan hukuman dibuang ke Pulau Seychelles dan dipindahkan ke Sarawak sebelum kembali ke Singapura dan meninggal dunia pada 4 Februari 1895. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Al Junid, Singapura sebelum dibawa pulang ke halamannya pada 2006.



Perbincangan mengenai Ngah Ibrahim sebagai seorang daripada pahlawan serta jutawan Melayu terkenal pada abad ke-19 di Tanah Melayu tidak perlu dipertikaikan.

Dia orang yang bertanggungjawab membina Kota Ngah Ibrahim, yang kini berusia 150 tahun yang dijadikan pusat pentadbiran bersilih ganti diletakkan di bawah pemerintahan British, Jepun hinggalah akhirnya diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti pada 1985 untuk dijadikan Kompleks Sejarah Matang.



Kawasan kota itu dibina menggunakan batu bata yang dicampur simen lama dikenali Lime Motar dan mempunyai menara kawalan utara dan selatan, pelabuhan Melawati, kubur, tugu peringatan kemasukan tentera Jepun.



Bahkan, tembok yang runtuh akibat rempuhan pesawat Jepun yang terhempas di situ ketika Perang Dunia Kedua dikekalkan sebagai bahan sejarah. Pada tembok itu terdapat satu lubang kecil pada jarak setiap lima kaki dipercayai bagi tujuan pertahanan.

Ini kerana, Ngah Ibrahim pernah melantik Kapten Speedy mengetuai pasukan polis mengawal kubu berkenaan terdiri daripada orang Melayu dan tentera Gurkha.



Di satu sudut berhampiran menara selatan, terdapat satu perigi lama yang digali semula oleh arkeologi dan hasilnya membuktikan seni bina yang menarik. Susunan bata diletak dengan tiga corak iaitu melintang, menegak dan bentuk V atau tulang belut.



Airnya masih banyak dan jernih, tetapi pengunjung tidak dibenarkan memijak batu bata di situ bagi mengelakkan runtuhan.



Ahmad Sazali berkata, kubu itu pada asalnya terletak berhampiran sungai tetapi kini sungai itu menjadi sempit dan langsung tidak digunakan.

“Ngah Ibrahim mempunyai empat kapal iaitu dua kapal layar dinamakan Bahtera Bayu dan Indera Bayu yang prestasinya lebih hebat daripada Kapal Pluto yang menjadi lokasi Perjanjian Pangkor pada 1874 serta serta dua kapal stim,” katanya.



Di dalam kompleks dua tingkat itu juga mengandungi pelbagai artifak sejarah termasuk tinggalan aktiviti perlombongan, sistem pemerintahan, mahkamah, senjata dan agak menarik ialah replika Si Larut, iaitu gajah milik Long Jaafar yang dikatakan menemui bijih timah ketika berkubang di Larut.



Kota Ngah Ibrahim jadi kompleks sejarah



KOMPLEKS sejarah Matang, Perak yang terletak di Matang (dulu dikenali sebagai Permatang) di Mukim Bukit Gantang, Perak dibina oleh Ngah Ibrahim yang bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.



Beliau adalah anak kepada Che Long Jaafar, iaitu orang Melayu pertama yang membuka perusahaan lombong bijih timah di Larut, Matang dan Selama pada 1840.



Kompleks ini adalah sebuah bangunan yang dijadikan rumah, kota dan pusat pentadbiran Larut dan ditempatkan di kawasan seluas 0.8094 hektar. Bangunan ini dibina hanya menggunakan bahan daripada batu bata saja.



Selepas Ngah Ibrahim meninggal dunia di Singapura pada 4 Februari 1895, kota ini diletakkan di bawah pengawasan Inggeris sehinggalah ia dijadikan Maktab Perguruan Melayu Matang pada 1913 hingga 1922.



Selepas itu, ia dijadikan sebagai Sekolah Melayu pada 1923 hingga 1941. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1942 hingga 1945), ia berperanan sebagai markas tentera Jepun. Apabila Jepun menyerah kalah dan berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 1946, rumah itu dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu (1946 hingga 1983).



Kota ini dijadikan Kompleks Sejarah Matang hingga sekarang mulai 1985 selepas ia diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti.



Mohd. Azis Ngah (Berita Harian)



2 comments:

kaya btol ngah ibrahim. btol2 berpengaruh.. kagum sy.
kalau ader gambar kota tur lagi bagus. sbb sy tak penah tgk.

walaubagaimanapun, kawan sy org sitew. dan sy berharap agar kwn sy akan mengambil gambar kota tersebut.

terdapat kesalahan fakta bekenaan kapal kepunyaan ngah ibrahim.... fakta yang sebenar adalah 2 buah kapal wap (steam ship) bernama batera baya dan indera bayu dan 2 buah kapal layar.

Post a Comment