ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT . UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Monday, September 28, 2009

Destar / Tengkolok DiRaja

Dendam Tak Sudah : Tengkolok Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tengkolok yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Hari Pertabalan adalah berwarna hitam bersulam benang emas. Soleknya dinamakan Dendam Tak Sudah yang berasal dari Negeri Sembilan. Di bahagian hadapan tengkolok ini dipasangkan anak bulan dengan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih dan ditengah-tengah bintang terletak lambang Kerajaan Malaysia yang berwarna-warni.

Dendam Tak Sudah : Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Kedah Darul Aman Pakaian hulu D.Y.M.M Sultan Kedah Darul Aman ini adalah ikatan baru yang berasaskan kepada ikatan Dendam Tak Sudah dari Negeri Sembilan. Ikatan ini dicipta setelah terjalin perkahwinan diraja antara Negeri Kedah dan Negeri Sembilan. Destar daripada kain songket berwarna hitam ini adalah pakaian hulu rasmi baginda. Daun lambaian kasihnya menghala ke kanan manakala pucuk destar yang melambangkan kuasa terletak di sebelah kiri, yang menunjukkan pemakainya adalah raja yang memerintah.

Dendam Tak Sudah : Tengkolok KDYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Di Negeri Sembilan istilah destar disebut sebagai deta sahaja. Destar daripada songket berwarna kuning ini adalah pakaian hulu rasmi D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Sewaktu memakainya, kedudukan pucuknya yang dipanggil “tunas kasih” harus diletak tepat di atas mata kiri dan daun lambaian kasihnya pula dihalakan nke arah kanan. Cara ini menunjukkan pemakainya adalah raja yang memerintah negeri.

Sekelungsung Bunga : Tengkolok KDYMM Sultan Pahang Darul Makmur Di Negeri Pahang Darul Makmur terdapat beberapa jenis destar yang pernah dipakai oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang. Tengkolok ’Sekelunsung Bunga’ yang diperbuat daripada kain songket yang warna natarnya biru kundang bersulam kencana ini adalah pakaian hulu rasmi yang dipakai D.Y.M.M Sultan Pahang pada masa sekarang.

Walaupun bentuk destar ini agak ringkas dengan bahagian daunnya melonjong ke atas dan bahagian bawahnya mengembang seperti sebuah kelungsung bunga, seperti terdapat perbezaan di antara destar yang dipakai oleh kerabat diraja dengan destar yang dipakai oleh orang biasa, khususnya dari sudut posisi daun dan pucuk destar yang dipanggil ’sula’.

Ketam Budu : Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Kelantan Darul Naim Destar jenis ini merupakan ikatan hulu yang dipakai oleh D.Y.M.M Sultan dan pembesar di Negeri Kelantan, perbezaannya hanya pada warna natar kain destar dan sedikit bentuk bunga pucuk di bahagian atas depan kepala yang menyerupai bunga mekar. Ikat kepala ini dapat dikenali dengan mudah kerana ikatannya menutup seluruh bahagian kepala pemakai, tidak seperti jenis-jenis destar lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Ayam Patah Kepak Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan Destar berwarna putih bersulam benang perak yang diberi nama Ayam Patah Kepak ini, adalah pakaian hulu khusus untuk D.Y.M.M. Sultan Perak Darul Ridzuan masa kini. Dalam etika berpakaian adat-istiadat melayu, warna adalah unsur penting kerana warna menggambarkan kedudukan atau status sosial seseorang. Putih adalah warna khusus untuk Raja Perak manakala kuning adalah untuk D.Y.T.M Raja Muda dan warna hitam untuk D.Y.A.M Raja Di Hilir, Perak.

Dendam Tak Sudah : Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Perlis Tengkolok Dendam Tak Sudah digunakan sebagai pakaian rasmi D.Y.M.M. Tuanku Raja Perlis. Warna natarnya kuning muda, manakala lipatannya sebanyak lima takuk bernama lipatan daun palas.




Setanjak Balung Raja : Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Selangor Darul Ehsan Destar daripada jenis kain songket berwarna kuning ini adalah pakaian hulu rasmi D.Y.M.M. Sultan Selangor. Ia dipakai oleh Baginda Sultan dalam majlis adat istiadat Diraja Negeri Selangor, seperti Istiadat Pertabalan, Hari Keputeraan dan lain-lain. Reka bentuk destar ini diambil daripada Tengkolok Balung Ayam dari negeri Perak, setelah terjalin perkahwinan diraja di antara kerabat Negeri Selangor dan Perak.

Belalai Gajah : Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Terengganu Darul Iman Destar Belalai Gajah adalah pakaian rasmi bagi D.Y.M.M. Sultan Terengganu. Destar ini diperbuat daripada kain songket bunga penuh warna kuning.
Daun pada bahagian atas depan destar ini dibentuk secara menggulung ke atas, seakan-akan seekor gajah sedang melambung belalainya. Bahagian bawahnya pula terdapat tiga takuk lipatan dan pucuk destar yang disebut sula diletakkan pada sebelah kanan, melambangkan pemakainya adalah seorang raja.

Sumber : posmalaysia.com.my

3 comments:

Apakah maksud "Dendam Tak Sudah", dari mana asalnya dan siapakah pemiliknya asalnya?

Diantara jenis jenis tengkolok diRaja..yang mana satu yang paling lawa dan indah coraknya....berbagai nama panggilan yang digunakan... sudah tentu mempunyai maksud tertentu dan dari mana asalnya....tolong Raja Menangis terangkan maksud maksud disebalik nama tengkolok raja raja Melayu.....tq....^_^

-ap maksud lipatan pd tengkolok tu? -kenapa ada yg hujungnya tajam ke kanan dan ada juga yang tajam ke kiri?
-apa maksud warna pd tengkolok tu?
-siapa yg cipta tengkolok ni?
-beza tengkolok yg dipakai raja/sultan , pembesar, rakyat dan juga panglima?

Post a Comment