ANDA TELAH SAMPAI KE LAMAN SEJARAH YANG UNGGUL DAN HEBAT . UAR-UARKANLAH BAHAWA ANDA TELAH MEMBACA ARTIKEL ATAU MENONTON VIDEO DI SINI

Friday, November 30, 2012

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU PERLUKAN KESUNGGUHAN


Usaha memartabatkan Bahasa Melayu perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan memerlukan tindakan berani pelbagai pihak termasuk dalam kalangan ahli politik, agensi-agensi kerajaan dan juga orang-orang Melayu sendiri.
“Golongan menengah Melayu misalnya mempunyai peranan yang besar dalam memastikan Bahasa Melayu benar-benar dimartabatkan pada kedudukan yang sewajarnya,” kata Dato’ Haji A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka ketika bertemu pemberita.
Tambahnya, tidak ada siapa pun yang menolak tentang kepentingan bahasa-bahasa lain termasuk Bahasa Inggeris, namun Bahasa Melayu perlulah diletakkan pada kedudukannya selaras dengan Perlembagaan negara serta sebagai satu jati diri bangsa Malaysia.
Beliau mengakui bahawa usaha lebih serius semakin ketara dilakukan dalam memartabatkan Bahasa Malaysia malah kita berbangga melihat Perdana Menteri sendiri menggunakan Bahasa Melayu dalam sidang-sidang Media yang diadakan di mana sahaja, terutamanya ketika berada di luar negara kecuiali untuk hal-hal yang bersangkutan dengan dasar antarabangsa, namun diharapkan juga Bahasa Melayu dapat  digunakan sepenuhnya dalam semua mesyuarat dan acara rasmi negara seperti mana yang termaktub dalam akta yang ada.
“Malangnya, yang menjadi halangan kepada usaha ini ialah tindakan orang-orang Melayu sendiri yang tidak melihat kepada kepentingan Bahasa Melayu sebagai jati diri dan kedudukannya dalam Perlembagaan negara untuk mendaulatkannya dan memastikan kelangsungannya untuk negara dan generasi akan datang,” kata Dr. Fatimah Busu, seorang penulis dan sasterawan  dalam pembentangan kertas kerjanya.
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak harus diragui lagi  sejak Laporan Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan Laporan Jawatankuasa Penyemakan Pelajaran Rahman Talib 1960  dan kemudiannya Akta Pelajaran 1961 kerana kemampuannya telah lama terpamer dan usaha gigih telah dibuat yang malangnya oleh hal-hal tertentu menyebabkan ia agak terhenti seketika dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Profesor Baharuddin Salleh dari USM.
“Bahasa ini mampu bersaing dan berdaya maju dalam mencapai statusnya sebagai bahasa ilmu melalui gabungan kerjasama semua pihak,” tambahnya lagi.
Dalam kertas kerja bertajuk Bahasa Melayu sebagai Bahasa Komunikasi, Profesor Madya Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menekankan betapa Bahasa Melayu kini diajar dan dipelajari di pelbagai institusi pengajian tinggi di dunia termasuk Australia, Perancis, Belanda, German dan Amerika Syarikat.
“Ini menunjukkan betapa Bahasa Melayu sememangnya mempunyai kedudukan dan kepentingan kepada dunia tetapi sayangnya tidak sedemikian kedudukannya dalam kalangan rakyat negara ini dalam memartabatkannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan," kata Abdul Mua’ti.
Hal ini adalah sebahagian dari perbincangan hangat dan  mendalam oleh pakar-pakar dan mereka yang cintakan bahasa Melayu melalui Persidangan Kebangsaan Bahasa Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia dengan kerjasama Jawatankuasa Perlaksanaan Dasar Bahasa USM pada 27 dan 28 November 2012 di sini.
Kira-kira 200 orang peserta mengambil bahagian dalam persidangan ini.
Terdapat juga harapan yang disuarakan dalam Persidangan ini agar satu hari pemimpin negara akan menggunakan Bahasa Melayu ketika berucap di Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Bahasa Melayu perlu diperkukuhkan di peringkat dunia dengan menghidupkan semula Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu yang pernah ditubuhkan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1997,” kata salah seorang panel dalam forum yang diadakan.
Cadangan juga dibuat agar Universiti Sains Malaysia (USM) dapat membawa resolusi yang dihasilkan melalui persidangan ini kepada Jawatankuasa Naib-naib Canselor IPTA dan menerajui usaha mengadakan Persidangan Bahasa Melayu Dunia sebagai kesinambungan dari persidangan ini.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Omar Osman yang merasmikan Persidangan ini menggesa agar usaha-usaha dan hala tuju yang jelas dalam memastikan usaha mendaulatkan Bahasa Melayu dilaksanakan dengan berkesan dapat dibuat agar dilakukan secara lebih berstrategi, berfokus dan realistik.
“Kita perlu berhenti dari menyalahkan orang lain kerana ia tidak mampu mengubah apa-apa, sebaliknya bekerja keras untuk terus meletakkannya di persada dunia,” tambah Omar.
Dalam kertas kerjanya, Bahasa Melayu dalam Bidang Pentadbiran dan Pendidikan: Sebuah Refleksi Berasaskan Sejarah dan Puisi, Profesor Dato’ Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka yang juga Pengarah Penerbit USM meminta agar perhatian dan keprihatinan pelbagai pihak terhadap kedudukan Bahasa Melayu di negara ini perlu dibuat secara berterusan dan benar-benar diterjemahkan pula kepada tindakan dan azam politik yang nyata.
“Hanya dengan tindakan, kuasa dan azam politik baharulah segala halangan dapat dibuang dan Bahasa Melayu boleh dikembalikan semula sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadbiran serta bahasa kesatuan,” kata Md. Salleh.
Turut membentangkan kertas kerja pada Persidangan ini ialah Profesor Emeritus Dato’ Nik Safiah Haji Abdul Karim dengan kertas kerjanya “Motivasi dan hala Tuju Bahasa Melayu”, Profesor Emeritus Abdullah Hassan dengan kertas kerjanya Bahasa Melayu sebagai bahasa Komunikasi, Profesor Dr. Teo Kok Seong yang membincangkan tentang Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perpaduan dan Jati Diri, Profesor Baharudin Salleh dengan kertas kerjanya Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu dan Dr. Fatimah Busu dengan kertas kerjanya Dilema dan hala Tuju Bahasa Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka.
Pada akhir persidangan, resolusi telah dibentangkan Profesor Madya Dr. Hashim Othman, Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia yang menyeru  agar semua wakil rakyat, pegawai kerajaan dan ahli akademik hendaklah memiliki jati diri berteraskan bahasa Melayu dan memperlihatkannya dengan jelas melalui penggunaan bahasa ini dalam semua urusan rasmi harian dalam usaha untuk menjayakan resolusi yang dipersetujui.
Menurutnya lagi, media elektronik khususnya stesen televisyen kerajaan dan swasta hendaklah menjadi model penggunaan bahasa Melayu tinggi kerana pengaruhnya yang kuat terhadap penguasaan dan penggunaan bahasa kanak-kanak dan remaja.
Tambahnya lagi, bagi menjayakan resolusi ini juga akhbar perdana bahasa Melayu perlu berperanan lebih agresif, sistematik dan berada di barisan hadapan dalam perjuangan memartabatkan dan memperkasa bahasa Melayu.
Malah kata Hashim, Persidangan ini juga dengan jelas menyatakan bahawa tanggungjawab memartabatkan dan memperkasa bahasa Melayu perlu dipikul oleh setiap warganegara Malaysia.
Menurut  Hashim lagi, usaha ini  dengan hasrat untuk memantapkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dan memperkasakan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan jati diri Malaysia.
Antara lain, resolusi Persidangan ini menegaskan:

SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN
1. Mempertahankan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk semua mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah, dan menolak sebarang tuntutan untuk kembali kepada dasar PPSMI.
2. Tidak melayan tuntutan untuk menghidupkan semula sekolah aliran Inggeris di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
3. Mengambil tindakan segera untuk menjadikan pembelajaran bahasa Melayu pada peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah sebagai pengalaman yang menarik, berkesan dan memikat dengan menggunakan pelbagai bahan kreatif dan inovatif.
4. Menyediakan latihan dalam perkhidmatan kepada semua guru untuk membolehkan mereka mencapai tahap penguasaan bahasa Melayu yang tinggi.
5. Menyusun strategi bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat di Malaysia.
6. Memperjelas dan memperincikan perancangan dan pelaksanaan dasar MBM dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk membantu pentadbir dan guru melaksanakannya dengan berkesan di sekolah.

PEMERKASAAN DAN PEMARTABATAN BAHASA MELAYU

BAHASA PERPADUAN DAN JATI DIRI
1. KPM hendaklah mencari kaedah terbaik untuk memperkenalkan semula sekolah wawasan dengan tujuan membolehkan berlakunya interaksi murid pelbagai etnik untuk memupuk perpaduan kebangsaan.
2. Pengetahuan dan kebolehan berkomukasi dalam bahasa Melayu hendaklah dijadikan hak asasi setiap murid berdasarkan prinsip “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.
3. KPM hendaklah bertegas melaksanakan kurikulum bahasa Melayu standard mulai Tahun 4 peringkat sekolah kebangsaan, SJK (C) dan SJK (T) untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu murid.

MOTIVASI DAN HALA TUJU
1. Pembinaan motivasi untuk mempelajari dan menguasai bahasa Melayu mestilah dipupuk sejak tahap awal pendidikan melalui pembinaan persekitaran yang menarik, berkesan dan memikat dengan pelbagai bahan yang inovatif dan kreatif.
2. Hala tuju bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan, dan lambang jati diri Malaysia yang wajib difahami, dihayati dan diusahakan pencapaiannya oleh setiap pentadbir, pemimpin, pendidik dan ibu bapa.

BAHASA ILMU
1. Fokus pembelajaran bahasa Melayu di sekolah hendaklah mempunyai keseimbangan antara aspek akademik dengan penggunaannya dalam kegiatan pembelajaran di bilik darjah dengan sokongan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPBS).
2. Mengaktifkan semula jawatankuasa istilah setiap bidang ilmu pada peringkat kebangsaan bagi menyokong peranan dan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
3. Memperkayakan kepustakaan bahan yang kreatif dan inovatif dalam pelbagai bentuk dengan tujuan menyokong pembinaan/minat dalam bidang sains dan teknologi
4. Setiap IPT perlu agresif melaksanakan pembangunan kapasiti kepakaran dalam pelbagai bidang, khususnya sains dan teknologi melalui wahana bahasa Melayu untuk menjadi rujukan institusi pendidikan lain dan sektor swasta dengan galakan dan sokongan pihak pengurusan.

BAHASA KOMUNIKASI (DUNIA KORPORAT)
1. Meningkatkan kemampuan dan nilai bekerja melalui kemahiran bahasa Melayu.
2. Memperbanyakkan kursus komunikasi berkesan  seperti penulisan laporan, pengucapan awam, surat-menyurat, minit mesyuarat dalam bahasa Melayu.
3. IPTA mengadakan kursus-kursus komunikasi berkesan dengan melibatkan pihak swasta untuk memudahkan pihak pengurusan berkomunikasi dengan berkesan dengan pihak bawahan.

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ASING
IPT hendaklah mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk membantu atau bekerjasama mengembangkan pembelajaran bahasa Melayu di pusat-pusat pembelajaran bahasa Melayu di luar negara.

BAHASA PENTADBIRAN 
1. Pegawai-pegawai kerajaan mesti mempunyai  jati diri berteraskan bahasa Melayu untuk mengendalikan semua urusan rasmi harian.
2. DBP sebagai badan penasihat dan pemantau mesti dirujuk oleh Pihak Berkuasa Tempatan atau swasta dalam hal-hal berkaitan citra kebangsaan Malaysia. 
3. Jawatankuasa perancangan dan pemantauan  penggunaan bahasa Melayu peringkat kebangsaan perlu diwakili oleh wakil semua bidang atau sektor. 
 www.usm.my

0 comments:

Post a Comment